Tuesday 30 July 2013

Benarkah PAS sedang menghadapi krisis kepimpinan yang serius?

Rabu, 31 Julai 2013
Benarkah PAS alami perpecahan?
Mazlan Aliman
Teringat kata-kata Tuan Guru Haji Abd Hadi, “Maqam takwa ahli biasa yang kerjanya hanya penampal poster boleh jadi lebih tinggi dari Presiden parti.”
Ramai yang bertanya kepada saya, benarkah PAS sedang menghadapi krisis kepimpinan yang serius? Ada kelompok kepimpinan, kem tertentu, diresapi fahaman Islam Liberal, menganut ajaran Syiah dan lain-lain.

Saya mula berjinak-jinak dengan PAS sejak tahun 1985 dan secara rasmi sebagai ahli tahun pada tahun1986. Bermula sebagai ahli biasa yang menampal poster, pasang bendera, kutip derma masa ceramah, kawal lalu lintas dan berbagai-bagai tugasan yang diamanahkan.
Daripada ahli biasa, meniti hierarki kepimpinan sampai pada waktu ini. Bergaul dengan macam-macam jenis manusia melalui program pentarbiahan dan dalaman parti; hingga percampuran dengan masyarakat di luar. Latar belakang ahli tentulah berbeza. Ada yang dulunya Umno, Arqam, Tabligh, Jim, Abim; hingga kepada penganut Tarekat dan sesetengahnya beramal dengan ajaran yang pelik-pelik yang diwarisi sebelum menyertai PAS.
Alhamdulillah, manhaj tarbiah yang dipeloleh daripada PAS atas nama usrah, tamrin, kuliah dan lain-lain dapat menyelaraskan Wehdatul Fiqh dan Wehdatul Amal. Namun, bezanya dalam PAS ialah keterbukaannya. Sama ada pandangan pimpinan sendiri yang dinukilkan dalam buku-buku yang diterbitkan oleh Tuan Guru Nik Aziz, Tuan Guru Haji Hadi, Ustaz Fadhil Nor, Haji Yusof Rawa, Ustaz Yahya Osman (sekadar beberapa nama) atau tokoh gerakan Islam luar, antaranya Yusof Qardhawi, Syed Qutb, Hassan al-Banna dan lain-lain - dijadikan sandaran ilmu dalam memperkasa jemaah, khususnya dasar perjuangan PAS yang bersesuaian dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia.
Dalam tempoh lebih 25 tahun bersama PAS, hari ini PAS telah berada di landasan yg terbaik. Berkembang dengan pesat, organisasi yang kian tersusun dan tentunya jumlah ahli dan penyokong jutaan orang. Saya melaluinya sendiri dari zaman Yusof Rawa hingga ke era Tuan Guru Haji Hadi. Ahli PAS bebas memberi pandangan dan mengkritik parti menerusi program dalaman, penulisan; hatta mesyuarat parti hingga ke Muktamar Tahunan PAS. Seperti mana Ketua Cawangan PAS ditegur dalam mesyuarat hinggalah Presiden PAS pun turut di kritik dan dinasihati oleh AJK PAS Pusat dalam mesyuarat bulanannya.
Selain AJK PAS Pusat, saya juga adalah anggota Lajnah Politik PAS Pusat dan memegang pelbagai jawatankuasa lain yang ditubuhkan oleh parti. Ahli mesyuarat bebas memberikan pandangan berasaskan tahap intelektual masing-masing. Kehebatan berhujah adalah keistimewaan yang dimiliki termasuk Pesuruhjaya Negeri. Presiden PAS selaku pengerusi mesyuarat sangat terbuka dalam meraikan semua pandangan. Presiden parti tidak menggunakan kuasa Veto, akur keputusan bersama.
Saya merasai detik-detik mendebarkan dan perbincangan hangat tatkala memutuskan kedudukan Dato' Dr Hassan Ali, polemik Kedah dan isu kerusi Kota Damansara. Namun, bagaimana panas sekalipun, ia tetap dalam ruang lingkup akhlak. Maknanya, tidak benar jika ada yang menuduh sesetengah AJK PAS Pusat bersikap kurang ajar dan tidak wala' dengan keputusan mesyuarat.

Justeru, tidak benar, hanya perbezaan pandangan dan kritikan tajam dianggap berpecah. Pimpinan PAS kekal mantap dan dihormati kawan dan lawan
Kebiasaannya mesyuarat di mulakan dengan usrah, selesai mesyuarat yang kadang kala berlarutan lebih 5 jam; kami makan bersama dalam suasana santai dan penuh mesra. Apa-apa yang didebatkan dalam mesyuarat meskipun berbeza pandangannya, menjadi keputusan yang mesti dipatuhi. Semangat syura yang hidup dan segar, menjadi rahsia kekuatan PAS hari ini.

Adalah tidak benar apabila muncul tuduhan dalam facebookb, blog dan lain-lain, kononnya ada berbagai puak dalam parti, dakwaan tidak wala'; apatah lagi tuduhan sesetengah pimpinan menganut fahaman tertentu. Jika ada aduan rasmi, maka Jawatankuasa Disiplin parti akan bicarakan dengan adil. Sejarah pemecatan ahli dalam parti akibat kesalahan tertentu, ada dan jelas.
Saya tegaskan hal ini sebagai gambaran bahwa PAS sebenarnya sebuah parti dan gerakan Islam yg mantap dan tentulah cabaran mengurus organisasinya bukan mudah. Hakikatnya, PAS lebih mantap daripada Umno dan parti-parti lain di Malaysia. Meskipun bersikap terbuka, tapi ada peraturannya; kritiklah, tapi jangan membuat fitnah.

Melabel pemimpin tertentu hingga timbul cakap-cakap untuk menjatuhkan seseorang yang tidak sehaluan adalah hak perwakilan. Tetapi adalah menyedihkan, jika tokoh yang mahu ditolak itu adalah berdasarkan emosi semata-mata, marah atau sebab-sebab yang tidak jelas. Lebih malang, kalau tokoh itu sangat menyerlah, ada wibawa; tapi tidak disenangi kerana kelantangannya.
Kita sayang pada PAS, jamaah yang kita sertai berasaskan kefahaman dan kesedaran kita. Daripada menuding jari dan melabel orang, lebih baik tumpukan pada tanggungjawab yang diamanahkan. Tidak cukup masa kita untuk cari salah orang lain, kalau kita sibuk dengan urusan perjuangan!.
Kita sebuah parti yang kukuh, ada kerajaan yang kita kuasai pemerintahannya, harapan rakyat terlalu tinggi kepada kita. Jangan buang masa berbalah. Hentikan prasangka sesama kita. Eratkan perpaduan, perkukuh saf di semua peringkat. Mainkan peranan masing-masing, sama ada berjawatan atau tidak.
Sama ada kita ulama, profesional, aktivis atau siapa pun kita; semuanya bertanggungjawab kepada parti. Betulkan nawaitu, ikhlaskan diri kerana Allah.

Teringat kata-kata Tuan Guru Haji Abd Hadi, “Maqam takwa ahli biasa yang kerjanya hanya penampal poster boleh jadi lebih tinggi dari Presiden parti.”

Selamat Berpuasa

* Mazlan adalah AJK PAS Pusat dan Pengerusi Anak, NGO yang perjuangkan peneroka Felda. Beliau menang dengan undi tertinggi dalam muktamar PAS yang lalu.

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena