Monday 29 July 2013

Musa Hassan syak Pengerusi MyWatch ditembak pasai pendedahannya baru-baru ini mengenai salah laku polis...

Isnin, 29 Julai 2013
Sanjeevan, yang mengetuai pemantau jenayah MyWatch telah ditembak oleh seorang pembonceng motosikal...


KUALA LUMPUR: Semua tanda seolah-olah menunjukkan bahawa kes tembakan aktivis anti-jenayah R.Sri Sanjeevan mempunyai kaitan dengan pendedahannya baru-baru ini mengenai salah laku polis, kata bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan.

Bekas ketua polis, menerusi akaun Twitter @TSMusaHassan berkata beliau berharap polis akan menjalankan siasatan terperinci untuk mengesan suspek memandangkan Sanjeevan telah menerima beberapa ancaman.

Beliau menambah: "(Akibat) pendedahannya mengenai penglibatan polis dengan aktiviti-aktiviti jenayah bersindiket dan aktiviti-aktiviti menyalahi undang-undang."

Sanjeevan, yang mengetuai pemantau jenayah MyWatch telah ditembak oleh seorang pembonceng motosikal yang berhenti di sebelah kereta BMW beliau ketika beliau menurunkan tingkap kereta untuk merokok di simpang berhampiran Taman Awana Indah di Jempol, Negeri Sembilan kira-kira pukul 4.30 petang Sabtu, beberapa portal berita melaporkan.
Sanjeevan berjaya memandu melarikan diri walaupun cedera teruk, meninggalkan penyerang di belakang, tetapi berhenti kira-kira 300 meter dari tempat kejadian di mana rakannya yang berada di dalam kereta, Ramesh Balakrishnan, 35, mengambil alih kenderaan untuk membawa mangsa ke Hospital Jempol.

Sanjeevan kemudiannya dikejarkan ke Hospital Kuala Pilah untuk pembedahan.

Beliau dikatakan berada dalam keadaan stabil.

Dalam pendedahan terbaru pada akaun Twitter beliau, Sanjeevan berkata: " Polis @PDRMsia memberitahu beberapa rakan sindiket bahawa dia akan mendapatkan senjata api & memberitahu mereka supaya melepaskan beberapa tembakan di rumah saya untuk menakut-nakutkan saya / keluarga" dia menulis di Twitternya @SanjeevanSS ~ mStar

Anwar mahu kawalan ketat untuk Sanjeevan
pada 29-07-2013 12:07 Ditulis Oleh Sharifah Azmawati Syed Abdul Aziz
Post Pic

PETALING JAYA: PKR hari ini mendesak polis menyiasat secara terperinci motif pengerusi badan pemantau jenayah MyWatch, R Sri Sanjeevan ditembak ketika memandu di Taman Cempaka, Jempol, Negeri Sembilan pada Sabtu lalu.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata insiden jenayah tembak tersebut mungkin ada kaitan dengan tindakan Sanjeevan mendedahkan dakwaan rasuah di kalangan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Percubaan membunuh Pengerusi MyWatch beberapa hari lalu membimbangkan kita, Keadilan mengulangi desakan polis menyiasat terperinci mengenai dakwaan anggota PDRM yang terlibat dalam sindiket.

"Beliau ditembak dua hari lepas dan Keadilan melihat jenayah tembak ini merupakan satu keganasan," katanya kepada pemberita tadi dalam satu sidang media khas di ibu pejabat Keadilan.

Polis sebelum ini tidak menolak kemungkinan faktor dendam menjadi motif pengerusi badan pemantau jenayah MyWatch itu ditembak.

Menurut Anwar, polis juga perlu mengetatkan kawalan keselamatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban bagi menjamin keselamatan Sanjeevan.

Beliau kini menjalani rawatan di hospital terbabit selepas cedera parah ditembak dua hari lalu.

Menurut Anwar, polis perlu membuat kawalan bersenjata supaya kes berprofil tinggi itu diberikan perlindungan sewajarnya.

"Kami mengalu-alukan tindakan pantas Tan Sri Khalid Abu Bakar dan beliau berjanji akan menyiasat terperinci dengan segera dan pendedahan Sanjeevan anggota PDRM terlibat dalam kegiatan sendikit dan haram, ia perlu disiasat segera.

"Saya kesal apabila kawalan keselamatan sekarang terlalu longgar bagi menjamin keselamatan mangsa," katanya. Antara Pos.com


Pengerusi NGO anti jenayah dakwa ada cubaan menakutkanya...
pada 05-07-2013 05:07 
Post Pic
SHAH ALAM: Pengerusi Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) anti jenayah MyWatch R Sri Sanjeevan, hari ini membuat laporan di Balai Polis Sepang bahawa beberapa individu cuba menakut-nakutkan dirinya.

Menurut portal FMT, Sanjevaan mendakwa lima lelaki mengekorinya ketika beliau sedang minum bersama rakannya di sebuah restoran popular di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang.

“Tiga lelaki memerhatikan kami dari pintu masuk restoran manakala dua lagi memantau dari sebuah mesin ATM.

"Seorang daripada mereka cuba menghampiri meja saya tetapi saya dan rakan saya segera meninggalkan restoran itu. Bagaimanapun, mereka terus mengekori kami tetapi hilang seketika kemudian," katanya dipetik portal itu.

Sanjeevan baru-baru ini mendedahkan satu kes di mana seorang bekas pengedar dadah merasuah anggota polis berhubung maklumat mengenai serbuan yang bakal dijalankan.

Bekas pengedar dadah itu mendakwa polis dibayar antara RM30,000 dan RM50,000 sebulan bagi membocorkan maklumat.

Lelaki itu dikatakan menyesali perbuatan lampaunya dan mahu memulakan kehidupan baru tetapi ada anggota polis yang terus memujuknya supaya meneruskan aktiviti lamanya serta menawarkan perlindungan kepada dirinya.

FMT juga menghubungi Sanjeevan yang dipetik berkata adalah kemungkinan besar kumpulan lelaki yang mengekorinya berkaitan dengan sindiket dadah.

“Jelas, ia ada kaitanberhubung pendedahan yang saya buat mengenai bekas pengedar dadah itu," katanya sambil merayu pihak berkuasa menyiasat perkara berkenaan kerana bimbangkan keselamatannya. Antara Pos.com

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena