Saturday, 6 May 2017

[Video Skandal 1MDB, GST & Najib UMNO Perompak Telah Membuka Peluang Pakatan Tawan Johor!] Hubungan mesra Pas-Umno merosakkan, kata Husam

Sabtu, 7 Mei 2017

Hubungan mesra Pas-Umno merosakkan, kata Husam

Datuk Husam Musa ketika membicarakan karyanya Cinta Yusuf A.S bersama Hasbie Muda sebagai moderator di PBAKL semalam
Hubungan mesra Pas dan Umno menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebenarnya tidak mendatangkan manfaat kepada rakyat ketika pelbagai isu penyelewengan dan salah guna kuasa masih berterusan, kata Naib Presiden Amanah, Datuk Husam Musa.
"Kerjasama seperti ini adalah merosakkan apabila satu pihak menyokong satu pihak yang lain ketika rakyat gelisah dibebani peningkatan kos hidup.
"Hubungan baik Umno-Pas juga tidak bermakna apabila penjenayah 1MDB (1Malaysia Development Berhad) dibiarkan tidak dihukum selain banyak kes rasuah mega terus berlanjutan," ujarnya ketika ditemui di reruai Ilham Books sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) semalam.
Beliau diminta mengulas kehadiran Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam majlis melabuhkan tukun tiruan di perairan laut Pulau Kapas, Marang bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, 4 Mei lalu.
Menurutnya, kemunculan Abdul Hadi dalam majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Jabatan Perikanan dan Petronas itu dilihat sebagai pendekatan untuk menguji persepsi politik pengundi Melayu.
"Ini semua adalah percubaan untuk mukadimah hubungan politik antara Pas dan Umno. Mereka mahu melihat minda siasah orang Melayu sama ada kerjasama itu diterima atau tidak.
"Pada asasnya, kerjasama politik atas apa nama sekalipun sama ada atas nama Melayu, Islam dan demi kepentingan negara itu tidak menjadi satu kesalahan.
"Namun, kerjasama politik itu tidak lebih hanya menambahkan kerosakan sedia ada akibat kepimpinan negara pada masa ini yang korup sekaligus ini bercanggah dengan prinsip Islam, kenegaraan dan demokrasi," tegasnya.
Penasihat Amanah Kelantan itu berkata, Islam tidak menerima serbarang bentuk kerjasama yang memudaratkan umat.
"Sesuatu kebaikan itu mesti lebih baik daripada keburukan. Pada hari ini, keburukan yang berlaku lebih besar daripada kebaikan," jelasnya.
Tidak kurang pentingnya juga, tambah Husam, hal berkaitan kedudukan sosio-ekonomi nelayan tempatan serta masa depan industri perikanan sepatutnya benar-benar ditangani.
"Bila kedua-dua pemimpin itu turun ke laut, saya berharap bukan sahaja untuk sesi bergambar, (Abdul Hadi) pakai terendak dengan menonjolkan kemesraan dua pemimpin yang dulunya bertentangan.
"Tetapi juga mengetahui laut kita telah dicerobohi nelayan asing akibat penguatkuasaan undang-undang yang lemah sehingga peluang nelayan tempatan meraih rezeki terjejas dan bekalan ikan di dalam negara terancam.
"Kita pun sedia maklum kebanyakan nelayan di negara ini berada di bawah paras kemiskinan tetapi pemimpin kita tidak berbuat apa-apa lantaran tidak berteraskan kesejahteraan rakyat dan agenda besar negara," tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menekankan pentingnya pendekatan lebih komprehensif termasuk input-input nelayan yang lengkap bagi membantu meningkatkan kualiti sosio-ekonomi keluarga nelayan tempatan diberi perhatian serius.
Terdahulu, Husam menghadiri sesi bicara karyanya, 'Cinta Yusuf A.S.' bersama Ketua Pemuda Amanah Terengganu, Hasbie Muda sebagai moderator di Dewan Tun Razak 3, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Malaysia Dateline

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena