Wednesday 5 July 2017

[Video Isu sabotaj ekonomi PATI & Isu 1MDB yang terus menghantui Najib] 1MDB: Berlian RM117 juta bakal cetus kemarahan penduduk kampung.

Rabu, 5 Julai 2017

1MDB: Berlian RM117 juta bakal cetus kemarahan penduduk kampung

1MDB: Berlian RM117 juta bakal cetus kemarahan penduduk kampung
Pemimpin Pakatan Harapan Tony Pua akan menyertai jelajah ke peringkat akar umbi di kawasan luar bandar untuk menerangkan bagaimana skandal 1MDB menjejaskan hidup masyarakat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Julai, 2017.
SELAMA tujuh tahun pemimpin Pakatan Harapan (PH) Tony Pua menggunakan 1MDB untuk menyerang Barisan Nasional (BN), kini beliau berharap dapat membawa skandal itu ke akar umbi melalui siri jelajah dua bulan yang akan bermula di Pulau Pinang esok untuk mencapai keputusan yang diharapkan.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata PH kini menemui "peluru ajaib" yang boleh mengubah skandal 1MDB menjadi isu penentu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Beliau percaya "peluru ajaib" itu ialah rantai berlian bernilai AS$27.3 juta (RM117.1 juta) yang dibeli untuk isteri "Malaysian Official No.1" (MO1) dengan wang yang didakwa dicuri daripada 1MDB. Menteri Abdul Rahman Dahlan mengesahkan MO1 adalah Perdana Menteri Najib Razak.
“Sekeping gambar membawa beribu makna. Rantai itulah yang menggambarkan sejauh mana keterlaluan dalam skandal ini," kata Pua kepada The Malaysian Insight.
Rancangan PH untuk menggunakan rantai itu sebagai tumpuan dalam jelajah nasional mereka, untuk memberitahu penduduk luar bandar bagaimana skandal yang sedang disiasat di enam negara itu menjejaskan kehidupan mereka.
Jelajah 1MDB itu bermula esok di Penaga, Kepala Batas – kubu kuat Umno di Pulau Pinang yang pernah menjadi kerusi Parlimen bekas perdana menteri dan presiden Umno Abdullah Ahmad Badawi.
Jelajah itu akan memberi penerangan kepada pengundi berkaitan kemelut 1MDB susulan tindakan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) membuat tuntutan untuk merampas aset bernilai AS$540 juta (RM2.3 bilion), yang didakwa dibeli dengan menggunakan wang yang disalurkan daripada syarikat pelaburan negara itu.
Pua berkata beliau sedar ramai yang masih ragu-ragu sama ada jelajah itu boleh memberi kesan kepada masyarakat kampung dan mereka memahami isu 1MDB, atau tidak.
Ketika skandal itu meletus pada pertengahan 2014, Pua dan rakan PH menganjurkan beberapa ceramah di seluruh negara. 1MDB tetap menjadi isi penting dalam ceramah parti komponen PH, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di luar bandar tetapi ia masih lagi asing di kalangan penduduknya.
Pua juga melihat semua kaji selidik yang menunjukkan isu kelangsungan hidup lebih penting kepada mereka daripada skandal yang berlaku di Kuala Lumpur, Singapura, Switzerland dan AS itu.
Beliau menerima keraguan dan cabaran ini, tetapi berpendapat rantai itu mengubah naratif 1MDB dengan cara yang berbeza.
Menghubungkan 1MBD
Rantai itu, satu set berlian merah jambu yang jarang didapati, adalah antara barangan didedahkan DoJ dibeli dengan wang didakwa disalurkan daripada 1MDB.
Kalung itu dilaporkan dibeli daripada pereka barang kemas dari New York, Lorraine Schwartz, yang turut mereka perhiasan untuk penyanyi Beyonce Knowles dan Jennifer Lopez.
Aset lain termasuk kapal persiaran Equanimity bernilai AS$165 juta (RM704 juta) milik Low Teck Jho, lukisan Picasso dan hak ke atas dua filem dihasilkan Red Granite iaitu sebuah syarikat dikendalikan anak tiri Najib, Riza Aziz.
Aset ini sebahagian tuntutan rampasan yang difailkan DoJ di AS pada 15 Jun untuk mendapatkan semula AS$540 juta yang didakwa dicuri daripada 1MDB. Saman terkini menjadikan jumlah dana yang didakwa disalahgunakan daripada 1MDB kepada AS$4.5 bilion.
Apa yang membuatkan berlian merah jambu berbeza daripada semua barang rampasan yang dibeli dengan 1MDB – seperti lukisan, jet peribadi dan rumah mewah ialah penduduk kampung boleh mengaitkannya dengan sesuatu seperti rantai, kata Pua.
"Ia sama seperti isu cincin itu," kata Pua, merujuk kepada cincin bernilai RM24 juta yang didakwa dimiliki Rosmah Mansor, dan menjadi tajuk utama pada 2011.
Rosmah menafikan memiliki cincin tersebut. Bagaimanapun, Pua berkata tiada penafian dibuat dalam kes rantai 1MDB, walaupun peguamnya mengugut untuk menyaman orang yang mengaitkan dirinya.
Katanya, rantai itu mengembalikan semula isu 1MDB dan mengikatnya kepada orang yang rapat dengan perdana menteri, yang pada masa dulu dituduh hidup mewah.
"Kaji selidik mendakwa 1MDB tidak penting kepada masyarakat kampung, tidak seperti kos sara hidup.
"Ia tidak penting bagi mereka kerana kami tidak menerangkannya dalam bahasa yang mereka fahami,” katanya.
Pua berkata jelajah itu akan menghubungkan rantai dan wang yang hilang dalam 1MBD, kepada kemerosotan taraf hidup. Penerangan lebih jelas meliputi:
* Ketika pemerintah kehilangan wang rakyat dalam skandal itu dan sumber pendapatannya merosot, ia mencipta cukai baharu seperti cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan cukai pelancongan, untuk memenuhkan semula tabungnya. Cukai baharu ini menyeksa rakyat Malaysia berpendapatan rendah dan sederhana.
* Kehilangan keyakinan pelabur dalam pemerintahan penuh skandal yang kemudian menurunkan nilai tukaran ringgit dan menyebabkan harga makanan dan barang import naik.
Pua berkata jelajah itu diharapkan dapat menanamkan naratif ini ke dalam minda pengundi supaya ia menjadi faktor penentu apabila mereka mengundi. – 5 Julai, 2017.
The Malaysian Insight

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena