Sunday, 20 September 2015

Siapa pengkhianat? Kerajaan PAS-Umno (seminggu) telah dijatuhkan di S'gor!...Presiden PAS marah kerana ‘dikhianati’ 2 ADUN?

Isnin, 21 September 2015

PAS tolak 'pengkhianat', tapi boleh khianat?

ULASAN Saya sebenarnya amat tidak berminat untuk berbalah dengan PAS. Tetapi malangnya di sebalik kepincangan pentadbiran negara, isu perkauman yang semakin meruncing, isu 1MDB dan sebagainya; PAS kelihatan bagaikan tidak mampu bercakap mengenai perkara lain selain mengenai parti Amanah Negara. Kami terus difitnah dan digelar dengan gelaran yang menghina.
Dan apabila Presiden PAS sendiri mula menggelar AMANAH sebagai “pengkhianat”, maka kami perlu menjawab. Dalam masa terdekat ini saya akan turut menjawab fitnahnya bahawa kami mahu jadikan PAS parti sekular dan sebagainya.
Walaupun adalah lebih wajar sekiranya PAS menumpukan pada usaha menjatuhkan Umno, tetapi memusnahkan AMANAH telah menjadi keutamaannya pada ketika ini.
Siapa pengkhianat?
Saya membaca dengan penuh tekun laporan The Malaysian Insiderberhubung satu ucapan oleh Hadi Awang, presiden PAS. Beliau dilaporkan berkata bahawa PAS tidak boleh bekerjasama dengan parti Amanah Negara yang beliau sifatkan sebagai “pengkhianat kepada perjuangan PAS”.
Beliau turut dilaporkan sebagai berkata, PAS bersedia bekerjasama dengan pihak lawan, namun tidak dengan pengkhianat.
Video ucapan presiden PAS ini telah turut disebar melalui FB dan WhatsApp oleh ahli PAS dan amat jelas sikap tegas beliau akan menjadi alasan untuk PAS tidak menyertai gabungan baru.
Saya turut menjangkakan bahawa kemungkinan besar AMANAH akan dipersalahkan kerana PAS tidak bersama dalam pembentukan Pakatan baru. Walhal, pada hakikatnya, presiden sudah tidak berminat dengan Pakatan dan lebih berminat untuk bekerjasama dengan pihak lawan.
Yang menjadi sedikit aneh pada saya adalah apabila sikap tegas dan tiada kompromi terhadap “pengkhianat” ini tidak mampu menghalang presiden PAS untuk mengkhianati Pakatan. Dan ini dilakukan beliau bukan sekali tetapi berulang kali.
Amat pelik bagi saya apabila seseorang mengutuk dan mengkritik sikap tertentu tetapi apabila dirinya sendiri melakukannya, terhadap rakan-rakannya sendiri, ianya seolah-olah tidak mengapa. Adakah ianya hanya satu kesalahan apabila PAS “dikhianati”, tetapi tidak mengapa untuk PAS mengkhianati?
Adakah mungkin presiden PAS telah lupa mengenai peristiwa Kota Damansara? Di mana persetujuan telah tercapai di setiap peringkat sama ada kawasan, negeri dan pusat, bahawa itu adalah kerusi PKR?
Atas desakan tertentu, maka dibenarkan menantunya meletakkan rakannya sebagai calon PAS. Dan akhirnya calon Umno/BN menang hasil dari pengkhianatan PAS. Tidakkah itu satu pengkhianatan?
Tuduh Marxis, pil kuda
Atau ianya hanya khianat apabila PAS yang dilukai? Tetapi apabila ianya dilakukan oleh PAS maka ianya bukan pengkhianatan kerana khianat hanya boleh berlaku terhadap PAS?
Begitu juga dengan kata-kata kesat beliau terhadap calon PKR Kota Damansara yang diucapkannya sewenang-wenangnya, menghukum Dr Nasir sebagai manusia yang “mempertuhankan Marx”?
Sedangkan, Hadi tidak pernah berjumpa dan berbincang dengan Dr Nasir. Tidakkah itu juga satu pengkhianatan? Sudah pasti kata-kata sebegitu telah menyumbang kepada kemenangan Umno/BN dan kekalahan PKR.
Sepertimana juga dengan tuduhan liar “pil kuda” tanpa dibawanya saksi ataupun bukti tetapi main cakap ikut sedap mulut semata-mata. Sedangkan PKR itu rakan. Bukankah meluahkan tuduhan sebegitu di khalayak umum juga satu pengkhianatan?
Saya tidak mahu menceritakan setiap satu peristiwa pengkhianatan yang telah berlaku terhadap rakan-rakan dalam PR. Tetapi ini sekadar untuk membuka mata mereka yang dengan mudah hendak menuduh orang lain “pengkhianat” seolah-olah diri mereka bersih dan bebas dari apa-apa salah laku.
Kesemua tindakan khianat ini terhadap rakan PR telah ditegur dan cuba diperbetulkan tetapi akhirnya kami pula dituduh lebih PR dari PAS. Walhal, usaha membetulkan perjalanan PAS adalah untuk kepentingan PAS. Namun, apakan daya kerana PAS dianggap boleh buat sesuka hatinya atas alasan bahawa dirinya sebuah parti Islam.
Tetapi usaha khianat yang terbesar yang tidak boleh dilupakan ialah apabila presiden PAS dengan sedar dan sengaja, bersekongkol dengan Umno untuk pertahankan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai MB Selangor semasa krisis yang lalu.
Penubuhan kerajaan PAS-Umno
Melalui tindakan beliau, Khalid Ibrahim telah memecat semua exco PKR dan DAP. Kerajaan PAS-Umno dengan dipimpin Khalid telah berkuasa di Selangor untuk tempoh melebihi seminggu.
Akhirnya kerajaan PAS-Umno yang dipimpin Khalid itu telah dijatuhkan apabila dua ADUN PAS menyatakan mereka tidak menyokong beliau sebagai MB. Mereka berdua telah menandatangani Surat akuan bersumpah menyokong Datuk Seri Wan Azizah sebagai MB bersama 28 ADUN yang lain dari PKR dan DAP.
Kemarahan presiden PAS begitu memuncak sehingga semasa muktamar PAS ke 59 beberapa bulan selepas itu beliau keluarkan tuduhan adanya “broker dan barua” serta tuduhan dua ADUN dibeli tanpa mengemukakan sebarang bukti mahu pun saksi.
Presiden PAS marah kerana ‘dikhianati’ 2 ADUN tersebut tetapi dia tidak nampak pengkhianatan yang telah dia sendiri lakukan terhadap PR dan pengundi Selangor.
Tidak memadai dengan itu, sebagai tindak balas, presiden PAS menawarkan kepada Azmin Ali jawatan MB sekiranya beliau masuk PAS bersama dua atau tiga ADUN PKR yang lain.
Ini akan dilakukan setelah Khalid Ibrahim memegang jawatan MB terlebih dahulu untuk tempoh enam bulan. Adalah jelas bahawa PAS akan hanya mampu mengekalkan Khalid Ibrahim sebagai MB untuk tempoh enam bulan dan menggantikannya dengan Azmin Ali sekiranya usaha PAS ini disokong Umno.
Ini kerana PAS hanya mempunyai 13 kerusi (tanpa dua ADUN yang pasti tidak akan sokong). Sekiranya dicampur dengan Khalid Ibrahim dan Azmin bersama tiga lagi ADUN PKR, jumlahnya hanya 18 kerusi ADUN.
Namun, mereka memerlukan 29 kerusi untuk membentuk kerajaan. Sudah pasti kekurangan ini tidak akan ditampung oleh PKR atau DAP. Maka ianya akan ditampung oleh Umno yang menguassai 12 kerusi DUN.
Sekiranya kerjasama tidak boleh diadakan dengan “pengkhianat” maka sudah pasti, pertama sekali, tidak boleh diadakan kerjasama adalah dengan PAS.
Bagi kami dalam AMANAH, kami dianggap pengkhianat kepada PAS kerana menentang pengkhianatan PAS terhadap PR. Yang menentang pengkhianatan dianggap pengkhianat dan yang mempertahankan pengkhianatan dianggap penyelamat.
Dengan sikap sebegitu, tidak salah untuk ditanya adakah masih ada tempat lagi bagi PAS dalam politik masa depan negara?

KHALID SAMAD ahli parlimen Shah Alam.

Malaysiakini

0 comments:

Post a comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena