Tentera Darat Komited Cari 7 Murid Orang Asli Yang Hilang
PORT DICKSON – Tentera darat akan meneruskan operasi mencari dan menyelamat tujuh murid Orang Asli yang hilang di Gua Musang, Kelantan sejak 23 Ogos lepas.
Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed berkata pihaknya komited dengan operasi yang turut membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam dan Jabatan Kemajuan Orang Asli.
“Daripada lebih 300 anggota agensi yang terlibat dalam operasi itu, lebih 200 adalah anggota tentera darat. Kita turut menghantar unit anjing pengesan untuk membantu operasi itu.
“Di sini bolehlah saya rumuskan tentera darat komited untuk mengesan tujuh murid Orang Asli yang hilang itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis perbarisan tamat latihan perajurit muda di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi.
Menurut Raja Mohamed Affandi, setakat ini tempoh pencarian itu tidak ditetapkan.
Pada masa sama, katanya, jika operasi itu dihentikan nanti, tentera darat bercadang menggunakan kawasan tersebut sebagai tempat latihan hutan untuk anggotanya.
“Itu arahan yang akan saya keluarkan untuk menjadikan tempat itu kawasan latihan hutan,” katanya.
Pada 23 Ogos lepas, tujuh murid Orang Asli iaitu enam perempuan dan seorang lelaki berusia antara tujuh dan 11 tahun dilaporkan hilang selepas melarikan diri dari asrama Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi di Gua Musang kerana takut dikenakan tindakan oleh guru kerana didapati mandi di sungai tanpa kebenaran. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment