Tok Pa keluar UMNO
AHLI Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengumumkan keluar UMNO selepas lebih 40 tahun berkhidmat untuk parti itu.
Beliau berkata keputusannya itu susulan hala tuju UMNO pada masa kini tidak selari dengan perjuangannya.
“Pada pandangan saya, hala tuju yang diambil UMNO pada masa ini tidak lagi selari dengan prinsip politik yang menjadi pegangan saya selama ini.
“Tidak ada banyak usaha yang meyakinkan bahawa proses rejuvenasi parti telah bermula.
“Setelah bermuhasabah dan memikirkan sedalam-dalamnya, saya mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai ahli UMNO setelah lebih 40 tahun berkhidmat untuk parti ini,” katanya dalam kenyataan, di Kuala Lumpur hari ini.
Kenyataan itu turut dimuat naik di laman Twitter rasminya.
Dengan keputusan itu, Mustapa secara automatik menjadi Ahli Parlimen Bebas.
Beliau yang turut meletak jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO berpandangan usaha ke arah memulihkan defisit kepercayaan dan imej parti semakin sukar.
“Tidak ada tanda bahawa majoriti rakyat berbilang bangsa dan agama akan kembali meyakini perjuangan parti ini,” katanya.
Katanya, UMNO selaku peneraju Barisan Nasional tidak boleh bergantung kepada sokongan orang-orang Melayu dan Bumiputera semata-mata untuk terus relevan.
Katanya, UMNO harus menjadi sebuah parti yang inklusif, moderat dan berhaluan tengah.
“UMNO mesti terus memperjuangkan kepentingan Bumiputera dan Islam, namun tanpa sesekali mengenepikan kepentingan kaum dan agama lain.
“Saya percaya bahawa inilah jalan terbaik dalam kerangka negara Malaysia yang majmuk,” katanya.
Mustapa turut berpandangan sudah tiba masanya semua pihak tanpa mengira fahaman politik dapat mencari satu titik persamaan demi kepentingan rakyat.
My Metro.
KJ 'serang' Presiden UMNO
AHLI Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin menyuarakan rasa tidak puas hati susulan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengumumkan keluar parti, hari ini.
Khairy mendakwa tindakan Mustapa keluar parti dipercayai kerana tindakan UMNO dan Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjalinkan kerjasama dengan PAS.
“Saya secara lantang sudah mengingatkan parti berhubung kerjasama dengan PAS. Dan saya sudah menjangkakan ada ahli parti akan memberontak.
“Sekarang kita sudah kehilangan orang yang berpengaruh dalam parti. Seorang yang bijak dan baik. Ini salah anda, Presiden (UMNO),” katanya dalam status dimuatnaik di Twitter, hari ini.
Terdahulu, Mustapa yang dipercayai berada di luar negara mengumumkan keluar parti selepas lebih 40 tahun berkhidmat untuk UMNO.
Mustapa dipetik berkata, keputusannya itu susulan hala tuju UMNO pada masa kini tidak selari dengan perjuangannya.
My Metro.
0 comments:
Post a Comment