Insiden N2H 2.0: Amalan demokrasi semakin terhakis, buka ruang MKN digunakan
Insiden provokasi yang berlaku dalam program Nothing To Hide 2.0 (N2H 2.0) anjuran Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semalam, telah membuka ruang penghakisan amalan demokrasi dalam negara, kata Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional Faiz Fadzil.
Beliau berpendapat program berbentuk ilmiah dan fakta ini telah disalahguna oleh pihak tertentu dan berkemungkinan akan membuka ruang kepada penggunaan akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) sekiranya insiden sedemikian berulang dalam sebarang program yang dianjurkan Pakatan Harapan.
"Pemuda Amanah berpandangaan amalan demokrasi semakin terhakis. Ini kerana program yang sepatutnya dibincangkan secara ilmiah dan berfakta itu yang memerlukan jawaban balasnya dengan fakta tetapi terkait dengan emosi dan provokasi dikalangan hadirin.
"Kemungkinan insiden berbentuk provokasi dan ganas ini akan berulang dan akhirnya boleh membawa kepada penggunaan Akta Majlis Keselamata Negara (MKN) oleh kerajaan yang kita telah katakan, sebagai senjata terakhir Najib (Datuk Seri Mohd Najib Razak) mempertahankan kuasanya.
"Semua ahli,penyokong dan pemimpin Pakatan Harapan diharapkan dapat bergerak dalam konteks demokrasi secara bijak.
"Tidak sehingga boleh membuka ruang kepada penggunaan MKN atau darurat dan sebagainya sehingga gagalkan usaha kita untuk bentuk kerajaan Pakatan Harapan di Putrajaya pada PRU-14 kelak, sekiranya insiden sama gagal dibendung dalam program-program anjuran Pakatan Harapan," ujarnya kepada Malaysia Dateline.
Beliau yang turut hadir bersama pimpinan pemuda AMANAH sebagai jemputan dalam program itu berkata, sepatutnya program diadakan yang bertujuan memberi peluang kepada rakyat untuk bersoal jawab bersama tokoh pemimpin, sebaliknya tidak digunakan sebaik mungkin kepada sebilangan kecil hadirin.
"Program ini untuk beri peluang kepada rakyat bertanya apa saja soalan atau kemusykilan yang berlaku dalam politik membabitkan Dr Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad).
"Sebaliknya ada pihak yang telah melakukan provokasi yang akhirnya penganjur terpaksa membatalkan program tersebut.
"Kami datang untuk mendengar sendiri soalan yang diajukan rakyat supaya semua isu dan kekusutan selama ini dapat dihuraikan tetapi peluang ini tidak digunakan oleh segelintir pihak kerana membuat provokasi,"ujarnya.
Faiz yang juga seorang peguam berkata, pihak polis harus bertindak tegas terhadap pelaku dan dapat menyiasat secara adil.
"Kita harap pihak polis dapat bertindak tegas terhadap pelaku. Ini melibatkan unsur jenayah dan provokasi. Bahkan perlu bertindak tegas terhadap sesiapa sahaja dan tidak memihak kepada mana-mana parti politik," ujarnya.
Program ini ujarnya lagi, membentuk wacana ilmiah dan sewajarnya polis perlu bertindak atas proses keluhuran undang-undang dan perlu lebih bersiap sedia dalam program politik seperti ini di lain masa.
Dalam kejadian berlaku semalam dua suspek berjaya ditahan dan di bawa ke Ibupejabat Polis Shah Alam bagi membantu siasatan ke atas insiden berlaku.
Ketika kejadian dipercayai kasut, botol air mineral, suar dan kerusi telah dibalingkan ke arah pentas sejurus Dr Mahathir menjawab soalan salah seorang hadirin berkaitan peristiwa Memali.
Ada dikalangan hadirin yang seakan tidak berpuashati dengan jawaban Dr Mahathir itu, telah bertindak liar dimulakan membaling kerusi ke arah hadirin kemudian diikuti membaling botol air mineral, kasut ke arah pentas dan dua suar telah dinyalakan dibaling ke arah hadirin apabila keadaan tidak terkawal lagi sehingga pihak penganjur Armada Bersatu terpaksa membatalkan program tersebut.
0 comments:
Post a Comment