Thursday, 24 August 2017

[Video Tun M - Mereka doakan saya mati & Trump boleh sokong Najib?] 'Campur Tangan Asing' APAKAH NAJIB KINI "MELUTUT" KEPADA AMERIKA & Adakah Najib akan kembali rapat dan mendakap Amerika?

Khamis, 24 Ogos 2017

APAKAH NAJIB KINI "MELUTUT" KEPADA AMERIKA?

Sejak  dua tahun kebelakangan ini, bermula dengan pendedahan bertali arus media antarabangsa mengenai skandal 1MDB dan kemudian diikuti dengan tindakan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat memfailkan saman sivil untuk merampas pelbagai aset yang dikaitkan dengan wang  yang dicuri daripada syarikat pelaburan negara tersebut, serta-merta hubungan Malaysia dengan kuasa besar dunia itu bertukar menjadi dingin dan "suam-suam kuku".

Daripada Najib Razak sebelumnya menjadikan Amerika sebagai negara paling kerap dikunjunginya dan Rosmah Mansor pula suka membeli-belah di sana, tiba-tiba negara itu mula dijauhi dan dibenci.
Sementara Najib kemudian dengan rancak beralih kepada China, beberapa menteri, pemimpin UMNO dan media pro kerajaan mula menyerang Amerika dan DOJ melalui saman sivil itu yang dianggap suatu bentuk campurtangan asing terhadap Malaysia.

Pelbagai hujah diutarakan untuk mewajarkan tindakan DOJ itu sebagai campurtangan asing, antaranya merujuk serangan Amerika di Iraq yang dikatakan hanya berdasarkan andaian semata-mata wujudnya senjata kimia.

Lebih dari itu, mereka juga mengatakan tindakan DOJ itu bukan saja dibuat tanpa meminta kerjasama dengan Jabatan Peguam Negara, malah juga dilakukan ketika 1MDB sendiri tidak pernah melaporkan kehilangan wangnya.
Maka, bertempiklah segala burung kakak tua, terutama yang disuapkan dedak ke mulutnya untuk berkicau, dari ditujukan kepada telinga anak muda di kota hinggalah kepada telinga tua makcik Felda, tentang  Malaysia yang kini kononnya sedang berada di ambang campurtangan asing Amerika serta perlunya seluruh rakyat bersatu menghadapinya.
Tetapi, dengan terdedahnya mengenai lawatan Najib ke Amerika pada 10 hingga 12 September depan yang antara tujuannya tidak saja untuk mengeratkan hubungan dengan Presiden baru Amerika, Donald Trump tetapi juga dikatakan untuk mengelakkan siasatan DOJ berkaitan 1MDB daripada diteruskan, apakah isu campurtangan asing itu akan terus dimainkan?

Apakah Najib akan kembali rapat dan mendakap Amerika?

Bagaimana dengan China yang sudah melabur dan mencurahkan banyak wang ke negara kita? 

Saman sivil DOJ berkaitan 1MDB kini direhatkan buat seketika dengan jabatan itu mahu menumpukan kepada siasatan jenayah berhubung wang yang dicuri itu terlebih dahulu.

Meskipun sehingga ini siasatan jenayah DOJ itu  hanya menjurus kepada perbuatan Jho Low dan beberapa rakannya, tetapi ia tidak dinafikan turut memberi ancaman kepada masa depan Najib kerana DOJ juga mempunyai rekod mengenai "Malaysian Official 1" yang didapati ada menerima AS$731 juta dan "isteri Malaysian Official 1" diberikan hadiah barang kemas oleh Jho Low berjumlah RM128 juta, kedua-duanya daripada sumber wang curi 1MDB.

Sama ada hasrat untuk mengelakkan siasatan itu berjaya atau tidak, masih terlalu awal untuk diramalkan. Namun Najib dan Trump mempunyai beberapa persamaan untuk diteliti.

Kedua-duanya adalah bilionnaire - satu melalui perniagaan usaha sendiri dan satu lagi melalui derma.  Trump dikenali sebagai bermulut celupar dan banyak berdolak-dalik dalam kenyataannya, sama seperti Najib yang juga kerap kali tidak mengotakan apa dikatanya seperti mahu menghapuskan Akta Hasutan, tidak menaikkan harga minyak dan menyaman WSJ.

Jika Trump dilabel bermulut celupar, dalam konteks budaya Melayu, perbuatan Najib mengucapkan perkataan "haramjadah" dan "bangang"  kepada kelompok yang tidak digemarinya, juga menjadikan beliau boleh diletakkan sekelambu dengan Presiden Amerika itu. Tidak pernah mana-mana Perdana Menteri sebelum ini mengucapkan perkataan sedemikian secara terbuka dalam ucapan umum.

Dalam masa yang sama, Trump turut sedang disiasat oleh DOJ berhubung dakwaan penyelewengan ketika kempen piliharaya yang lalu. Dengan sama-sama disiasat, Trump dan Najib tentunya lebih mudah menjadi kawan yang lebih rapat.

Dalam konteks yang lain, kunjungan Najib ke Amerika juga adalah sebagai suatu wayang opera untuk menunjukkan kepada pengundi Malaysia bahawa beliau tidak bersalah serta tidak takut mengunjungi negara tersebut.

Tukang-tukang kempen beliau selepas ini pasti akan menjaja cerita bahawa selain saman atau siasatan DOJ tiada asasnya dan Najib tidak merupakan suspek untuk ditangkap FBI di Amerika, yang lebih utama ialah dendangan perlunya beliau terus dikekalkan lagi selepas pilihanraya akan datang nanti.

Media-media Amerika tentu saja seronok menanti ketibaan Najib dan barangkali sudah mula menyiapkan soalan berkaitan 1MDB untuk ditanyakan kepadanya. 

Tentu juga lebih meriah, jika dalam kunjungan kali ini, sebagaimana lawatan ke beberapa negara lain sebelum ini, Najib turut membawa Riza Aziz bersamanya Amerika.

Apa pun tujuan dan persepsi lawatan Najib ke Amerika kali ini, beliau tetap dilihat seolah-olah "melutut" kepada negara Uncle Sam itu, bukan saja berkaitan penyiasatan 1MDB, malah juga untuk mementaskan cerita yang menampakkannya ada kelebihan dan tidak mudah kalah untuk berdepan dengan Tun Mahathir Mohamad  yang mahu menumbangkannya dalam pilihanraya akan datang. (ShahbudinHusin 24/08/2017)

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena